TIPS PENGURUSAN MASA DENGAN BIJAK
Kita sering merasa terburu-buru mengejar masa kerana perlukan masa yang banyak bagi melakukan aktiviti harian. Ini akan menyebabkan kerja yang kita lakukan menjadi kelam kabut. Tahukah anda, kekayaan masa iaitu mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang kita suka adalah satu nikmat yang tak terhingga?
Di sini, saya ingin membantu anda dengan memberikan 10 tips pengurusan masa dengan baik:
1. Rancang jadual harian
Rancang jadual aktiviti harian adalah
penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk
bersama diri sendiri, keluarga dan juga untuk Allah Swt. Pengurusan masa
adalah pengurusan kehidupan harian kita. Berjaya mengurus masa bermakna
kita berjaya menguruskan hidup kita.
Anda boleh mulakan hari anda dengan
melakukan kerja-kerja yang paling penting di awal pagi. Anda juga boleh
rancang jadual anda pada hari atau minggu sebelumnya.
2. Tetapkan had masa untuk setiap tugas
Jangan lakukan sesuatu tugas lain
sebelum menyelesaikan tugas yang kita sedang lakukan. Sentiasa periksa
jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Sentiasa tanya diri sendiri,
bilakah tugas yang sedang dilakukan itu boleh selesai? Bilakah ianya
perlu diselesaikan. Adalah lebih bagus untuk menyiapkan tugasan lebih
awal supaya anda ada lebih masa untuk memeriksa tugasan anda. Ini akan
memastikan tugas yang sedang dibuat akan mencapai matlamat yang
berkualiti. Ini juga akan membantu kita untuk lebih fokus dalam
menyiapkan tugasan yang kita perlu lakukan.
3. Tahu deadline anda
Bukan mudah bagi kita untuk merancang
kerja yang perlu dilakukan. Set tarikh akhir (deadline) untuk
menyelesaikan kerja kerana ini akan mengurangkan rasa risau kerana
merasa tidak mencukupi masa. Melakukan tugasan tanpa tahu tarikh
akhirnya seperti anda tidak tahu arah tuju atau kesudahan tugasan
tersebut. Ini menyebabkan anda akan mengambil masa yang lama untuk
menyiapkannya.
4. Belajar untuk berkata “TIDAK”
Daripada semua tips penggunaan masa
dengan baik, barangkali yang paling efektif ialah selalu menggunakan
perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan
tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian
sasaran anda. Kadang-kadang, bila kita berani mengatakan tidak kepada
ajakkan kawan-kawan, atau kepada perkara-perkara yang tidak memberikan
kesan besar kepada kita, kita boleh gunakan masa tersebut untuk perkara
yang lebih memberikan kebaikan kepada kita.
5. Teknik 15 minit lebih awal
Dalam zaman sekarang, sangat mudah untuk
kita mengawal masa. Kita boleh gunakan telefon bimbit sebagai penjaga
masa kita. Dalam telefon bimbit, kita boleh setkan ‘reminder’ untuk
memberi peringatan kepada kita tentang jadual dan waktu yang tepat. Ada
orang menggunakan kaedah menetapkan waktu jam 15 minit lebih awal dari
waktu sebenarnya supaya kita lebih berdisiplin dan mengelakkan dari
terlambat.
6. Fokus
Kita akan memberi lebih tumpuan dalam
melakukan kerja sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Buat sesuatu
kerja dengan memastikan kerja tersebut merupakan perkara yang utama
perlu diselesaikan. Untuk membantu anda fokus, anda boleh kurangkan
gangguan di sekitar anda. Anda boleh ‘silent’ kan telefon bimbit,
matikan notifikasi media sosial anda, jauhkan diri dari televisyen,
YouTube dan lain-lain yang boleh mengalih perhatian anda dari terus
fokus.
7. Jejaki masa yang dihabiskan
Lihat kembali pencapaian masa yang telah
kita gunakan dalam sesuatu kerja. Gunakan teknik ini dengan
memperkembangkan lagi fokus dalam matlamat yang perlu kita capai. Ramai
antara kita tak pernah “keep track” berapa banyak masa yang kita
gunakan untuk selesaikan sesuatu perkara. Sebagai contoh, cuba jejaki
berapa banyak masa untuk anda siapkan satu tugasan yang biasa anda
lakukan dan cuba lakukannya lebih cepat keesokkan hari. Anda akan mula
perasan anda ada lebihan masa nanti.
8. Tidak kecoh dengan perkara-perkara tidak penting
Ramai antara kita selalu menyalahgunakan
masa dengan kecoh dengan perkara-perkara yang tak ada kena mengena
dengan kita. Contoh jelas, jika berlaku kemalangan di lebuh raya, ramai
pemandu akan berhenti semata-mata untuk tengok. Ini akan menyebabkan
anda lambat sampai ke lokasi dan juga melambatkan orang lain. Jangan
kecoh dan kepoh dengan perkara-perakara yang tidak membawa kebaikan.
9. Jangan lupa untuk berehat.
Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa
rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun,
kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin
terkumpul. Oleh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana
hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik. Tidur sebentar
juga boleh membantu kita menjadi lebih efektif, Rasulullah juga
mengamalkannya. Tapi jangan jadikan ini sebagai alasan untuk lari dari
tugasan!
10. Jangan mudah terpedaya
Masa bergerak sangat pantas.
Kadang-kadang tanpa kita sedar, hari dah menjelang petang sedangkan
banyak lagi perkara yang kita tak lakukan. Ramai orang mudah terpedaya
dengan masa dan mula menggunakan masa sebagai alasan. “Releks la, baru
pukul 9 pagi.” “Kenapa nak cepat-cepat, ini kan waktu rehat”. Dengan
asyik melengah-lengahkan masa dan membiarkan diri terpedaya dengan masa
yang ada, kita akan kehilangan masa tersebut.
Orang berjaya dalam hidup sangat
menghargai masa. Tujuan mereka kaya dan berjaya ialah supaya mereka ada
lebih banyak masa untuk diluangkan dengan Allah swt, dengan diri
sendiri dan keluarga. Anda bagaimana?
done...info yang sangat bermanafaat..
ReplyDelete